Perjuangan Yang Belum Selesai (Tun Mahathir)


PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI 

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah
tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan 
dan darjat bangsa 
selangkah beerti mara 
mengharung sejuta dugaan 

Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita
 

Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemerdekaan
rupanya lebih sukar dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya
 

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri
 

Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara
 

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman mereka menjadi pelaut,
pengembara malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedagang dan peniaga
 

Selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera
menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau
yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya
hingga bangsaku berasa begitu kecil dan rendah diri?
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsaku mulai melupakan
kegemilangan silam dan sejarah gemilang membina empayar
 

Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati
 

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
 

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
 

Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya
 

Dr. Mahathir Mohamad Mei 1996

Comments

aiEz said…
ak suka buah fikiran dari mantan perdana menteri ni,niar dicaci dan dibenci tapi masih tegak dan mampu berdiri..segala yg hadir ditepis jauh sekali dengan emosi..respect pada Tun..

Umie Nadhirah said…
demi nusa dan bangsa !
cayalah tun mahathir, gpms sayang datuk mahathir ni hehe.
Unknown said…
Salam ziarah...

anda telah ditagged disini

http://bloggeralif.blogspot.com/2013/07/selamat-menyambut-ramadhan-1434h.html

Popular Posts