Sepakan Percuma Terbaik, Faiz Subri Disebut-sebut Calon Anugerah Puskas FIFA


KUALA LUMPUR: Nama Mohd Faiz Subri menjadi sebutan ramai di seluruh dunia selepas pemain skuad bola sepak Pulau Pinang itu menjaringkan satu gol istimewa, malam semalam. Mohd Faiz menjadi sanjungan ramai apabila sepakan percuma yang dilakukannya dari jarak 35 meter, melengkung masuk ke gawang gol dalam satu perlawanan Liga Super Malaysia. Laman berita dalam talian British Independent (www.independent.co.uk) melaporkan, sepakan percuma Mohd Faiz yang amat luar biasa itu pasti menjadi calon bagi Anugerah Puskas FIFA 2016. "Mohd Faiz Subri akan menjadi pesaing bagi anugerah yang mengiktiraf gol terbaik pada tahun ini, hasil jaringan daripada sepakan percumanya yang sungguh luar biasa itu.

"Sepakan pemain berusia 28 tahun ini bukan sahaja mengejutkan penjaga gol pasukan lawan, malah dianggap bercanggah dengan hukum fizik. "Sepakan Mohd Faiz sungguh berbisa kerana bola yang pada mulanya menghala ke suatu arah, kemudiannya melencong ke arah lain dan menerjah ke penjuru gawang gol," kata laporan itu. Gol itu dijaringkan dalam perlawanan antara Pulau Pinang dengan Pahang di Stadium Bandaraya, sekali gus membantu Pulau Pinang menang 4-1. Portal berita itu juga memuat naik video sepanjang 17 saat mengenai jaringan gol itu yang diperoleh daripada siaran langsung melalui saluran televisyen TV9. Gol yang dijaringkan pada minit ke-62 itu juga menjadikan Mohd Faiz bahan 'trending' dalam laman Twitter. Anugerah Puskas diperkenalkan FIFA pada 2009 bagi mengiktiraf pemain yang menjaringkan gol paling cantik pada sesuatu tahun. - Sumber

Comments

Popular Posts